Monday, December 6, 2010


Maafkan diriku jika kata-kataku mungkin menyakiti hatimu wahai suamiku. Cuma hati tertanya-tanya dan kadangkala timbul keraguan terhadap dirimu. Setiap hari kau katakan yang dirimu sangat menyayangi diriku. Setiap pagi kau memberikan kucupan di pipi dan kadang-kadang kau menghadiahkan ku sejambak bunga untuk membuat kejutan kepadaku, namun kenapa aku merasakan kau sebenarnya tidak menyayangiku.. Masihkah dikau ingat waktu hari kau melamarku, kau berjanji kepada kedua ibubapaku akan menjagaku dan tidak sekali-kali akan melukakan diriku. Apabila akad berlangsung, aku merasa sangat sedih kerana terpaksa berpisah dengan kedua ibu bapaku, tapi aku redha. Redha kerana mahu mengikutmu seorang suami yang kononnya mampu membimbingku menjadi isteri yang solehah.

Ingatkah dirimu, sewaktu aku meminta izin untuk bekerja, kau benarkan kerana mahu menyenangkan hatiku. Apabila aku bersolek untuk keluar kau tidak menghalangku. Bila aku mahu bergaya, kau tidak menegur. Malah tiada langsung halangan darimu,melainkan kau berpesan kepadaku “Jangan bermain mata dengan orang”. Itu sahaja.

Kau tersenyum penuh bangga bila ada teman-temanmu memujiku. Malah kau turut menggalakkanku agarku lebih bergaya dan tidak mahu isterimu kelihatan ketinggalan dari segi berfesyen. Kau juga suka membawaku ke mana-mana. Kau tidak segan silu berkepit dengan ku sewaktu ke majlis-majlis keramaian. Sebab kau bangga punya isteri sepertiku. Selain dikurniakan cantik, aku jua pandai menyesuaikan diri dengan sesiapa baik dari golongan atasan ke golongan kebanyakan. Kau benarkan aku berbual mesra dan bergurau. Katamu aku seorang yang sempoi, senang di bawa. Sebab itu kau menyayangiku agaknya.

Bila hujung minggu, kau lebih suka membawaku dan anak-anak ke pusat membeli belah, kadang kita berkaraoke bersama, bermain bowling dan sebagainya. Bila hujung tahun, kita akan bercuti keluar negara. Hidup kita penuh keseronokan dan kemewahan. Apa tidaknya, siang malam kita sibuk mencarinya sampaikan kita tidak punya masa untuk anak-anak selalu. Semuanya kita serahkan kepada pembantu. Dikau pula seorang yang tidak cerewet. Apa saja yang kami minta kau segera menunaikannya. Kau jarang memarahi kami. Tiada undang-undang dan garis panduan yg kau berikan kepada kami. Kami keluar masuk dari rumah tanpa ada batasnya.

Kau begitu taksub dengan cara orang barat dan beranggapan itu cara hidupmu dan keluargamu..kononnya itulah kemodenan. Kau juga tidak pernah mengajakku dan anak-anak solat berjemaah sama-sama di masjid mahupun di rumah. Kau juga tidak peduli kalau anak-anak tidak belajar mengaji asalkan berjaya di sekolah. Kadang-kadang kami seperti dilupakan dengan agama asal kami. Kau tidak seperti suami orang lain yg selalu mengongkong isterinya. Sebab itu aku dan anak-anak merasa amat bahagia disampingmu. Tapi kau sebenarnya telah merosakkan kami. Kau biarkan jiwa kami kosong tanpa makanan rohani. Kerana walaupun kita memiliki segalanya, hati kita tetap tidak gembira. Dan rasanya terlalu banyak pembohongan yang kita lakukan kepada masyarakat sekeliling kita. Kita berlagak seolah-olah kita sangat bahagia tapi sebenarnya kita sudah menemui jalan buntu dalam kehidupan. Anak-anak kita? Mana anak-anak kita? Sungguh kita berdua memang bangga kerana anak-anak kita berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negeri. Tapi sikap mereka tidak sopan terhadap kita orang tuanya. Saban hari mereka menghabiskan masa untuk berfoya-foya, minum arak, ke disko, tanpa peduli hal-hal lain.

Wahai suami..dengarlah..anak perempuan kita tidak pernah menutup auratnya. Dia juga bebas menyerahkan mahkota kegadisannya kepada lelaki diluar sana. Dia bebas menyerahkan maruah dan harga dirinya pada lelaki durjana untuk meratahnya setiap inci tubuhnya. Yang ku sedihkan, dia sedikitpun tidak merasa kesal. Kerana ini trend zaman moden katanya. Semua orang berfikiran terbuka. Memang dia anak yang benar-benar mengikut jejakku iaitu ibunya. Ku ulangi 'ibunya'. Malah agaknya lebih teruk lagi kita rosakkannya tanpa didikan asalnya..

Aduhai suami!!..kenapa kau membiarkan hidupku dan anak-anakmu hancur punah begitu saja? Kenapa wahai suami? Bukankah kau menyayangi kami? Bukankah tanggungjawab kau memimpin kami tanpa henti? Atau itu cuma kata-kata palsu darimu? Terus terang aku ingin memberitahumu betapa aku sangat seksa di sini. Seluruh tubuhku kesakitan yang tidak mampu kuungkapkan. Setiap sendi anggotaku terasa begitu pedih menyucuk. Beberapa malam aku di sini terasakan begitu terseksa. Di sini tempatnya begitu panas dan gelap. Sungguh, isterimu sudah tidak tahan di azab sebegini. Setiap hari aku menangis, meratap, merayu minta hidup kembali.



Tapi mana mungkin suamiku..mana mungkin. Kemana dirimu? Ke mana dirimu wahai suami?Mana doa mu? Mana doa anak-anak? Mereka tidak pandai berdoa , mereka tidak tahu. Tolonglah ajar mereka.. Aku lihat kau dan anak-anak meratap hiba sewaktu jenazahku di usung ke kubur. Sungguh kamu berasa sedih atas pemergianku, tapi sampai hati kau membiarkan aku keseorangan di sini..tanpa sedikitpun peduli kepadaku.. kau kembali dgn aktiviti mu.

Dengan bisnesmu yang penuh dengan riba dan rasuah. Dan sememangnya duit haram itulah yang telah menjadi darah daging kita sekeluarga..termasuk orang tuaku. Sebab itu kita sukar peroleh hidayah. Sebab itu hidup kita jadi begini dan sangat jauh dari rahmatNya..

Aduhai suamiku, berbaloikah semua ini? Berbaloikah kita membeli dunia untuk akhirat? Kita cuma rasa senang sekejap tapi hakikatnya, kita akan menderita selama2-lamanya di sini. Kau tidak tahu betapa kurasakan panjangnya waktu di sini. Setiap hari kumohon agar disegerakan kiamat.. Tapi aku tidak bimbang kerana lambat laun kau juga akan menemaniku. Aku memang akan menyalahkan dirimu atas kecuaianmu. Memang aku akan menarikmu sama ke neraka Allah yang maha dahsyat ini..Aku tidak larat menanggung sendiri dosa yang telah aku lakukan dan semua ini berpunca darimu..!!!!!

Wahai suami-suami..perhatikanlah isterimu. Adakah mereka sudah memenuhi ciri-ciri isteri dan ibu solehah? Jika tidak, segerakan membimbingnya, sebelum terlambat. Jika benar dirimu menyayangi mereka, janganlah biarkan mereka melakukan sesuatu sesuka hati. Bimbinglah mereka walaupun mereka marah dan benci denganmu. Kerana kau begitu menyayangi mereka. Kerana merekalah saham-saham untukmu di akhirat..Namun untuk mendapat isteri dan anak-anak yang solehah harus bermula dengan dirimu dahulu.

“Harta benda dan anak adalah perhiasan hidup di dunia. Sedangkan amal soleh yang kekal lagi baik faedahnya itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Al-Kahfi, 46)

No comments:

Post a Comment